Orang Malaysia Sahaja Yang Belum Kenal Apa Itu Hebocon

Bayangkan dua buah robot yang “buruk gila” (crappy) berlawan sesama sendiri, apa akan jadi?

Selamat berkenalan dengan Hebocon, pertandingan robot untuk “orang bodoh” (dummies).

Hebocon ialah pertandingan robot untuk orang yang tidak berbakat dalam ilmu teknikal (technically ungifted).

Dalam pertandingan Hebocon, peserta perlu bersikap tolak ansur dan sedia menyerah kalah. Ini berlawanan daripada kebanyakan pertandingan robot yang mementingkan idea dan kemahiran teknikal peserta.

Sebanyak 32 buah robot buruk berlawan sesama sendiri dalam sebuah kejohanan gusti sumo. Mana-mana robot yang keluar daripada gelanggang, ataupun jatuh tersembam, akan diisytihar kalah.

Suatu keunikan pada pertandingan Hebocon ialah penalti teknologi tinggi (high-tech penalty). Lazimnya, robot dicipta dengan tahap teknologi yang setinggi mungkin. Namun, dalam pertandingan Hebocon, robot yang dianggap memiliki teknologi tinggi akan dipotong markahnya.

Pertandingan Hebocon diasaskan di Jepun pada tahun 2014. Kini, pertandingan itu sudah merebak hingga ke barat. Sekali lagi, idea orang Jepun menjajah masyarakat sedunia.

Jiran-jiran kita, Singapura dan Thailand, pun sudah kenal apa itu Hebocon. Kita, orang Malaysia yang berwawasan dua puluh dua puluh, nampaknya ketinggalan kereta api buat kesekian kalinya.

Jangan risau. Visinomik akan mencetuskan fenomena Hebocon Malaysia dalam sedikit masa lagi.