Orang Malaysia Sahaja Yang Belum Kenal Apa Itu Hebocon

Bayangkan dua buah robot yang “buruk gila” (crappy) berlawan sesama sendiri, apa akan jadi?

Selamat berkenalan dengan Hebocon, pertandingan robot untuk “orang bodoh” (dummies).

Hebocon ialah pertandingan robot untuk orang yang tidak berbakat dalam ilmu teknikal (technically ungifted).

Dalam pertandingan Hebocon, peserta perlu bersikap tolak ansur dan sedia menyerah kalah. Ini berlawanan daripada kebanyakan pertandingan robot yang mementingkan idea dan kemahiran teknikal peserta.

Sebanyak 32 buah robot buruk berlawan sesama sendiri dalam sebuah kejohanan gusti sumo. Mana-mana robot yang keluar daripada gelanggang, ataupun jatuh tersembam, akan diisytihar kalah.

Suatu keunikan pada pertandingan Hebocon ialah penalti teknologi tinggi (high-tech penalty). Lazimnya, robot dicipta dengan tahap teknologi yang setinggi mungkin. Namun, dalam pertandingan Hebocon, robot yang dianggap memiliki teknologi tinggi akan dipotong markahnya.

Pertandingan Hebocon diasaskan di Jepun pada tahun 2014. Kini, pertandingan itu sudah merebak hingga ke barat. Sekali lagi, idea orang Jepun menjajah masyarakat sedunia.

Jiran-jiran kita, Singapura dan Thailand, pun sudah kenal apa itu Hebocon. Kita, orang Malaysia yang berwawasan dua puluh dua puluh, nampaknya ketinggalan kereta api buat kesekian kalinya.

Jangan risau. Visinomik akan mencetuskan fenomena Hebocon Malaysia dalam sedikit masa lagi.

Felo Khazanah Bercakap Tentang Ekonomi Malaysia Yang Merunsingkan

PENTING sangatkah ada belanjawan yang seimbang?

Tidak, menurut Prof Jomo Kwame Sundaram.

Pakar ekonomi terkemuka itu menekankan bahawa, yang penting adalah cara kerajaan membelanjakan duit mereka setiap tahun bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan baik. Tetapi sayangnya, perkara itulah yang sangat kurang dalam konteks Malaysia.

Terus terang, Prof Jomo mengatakan bahawa Malaysia mengalami belanjawan defisit yang “menjemukan” selama dua dekad terakhir ini, tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh bagi meletakkan ekonomi negara pada landasan pertumbuhan yang mampan.

Menurut Prof Jomo, negara kita sekarang terperangkap di dalam krisis politik. Akibatnya, penggubalan dasar ekonomi yang berkesan menjadi lumpuh. Langkah-langkah pembaharuan atau reformasi boleh dikatakan terhenti. Ada pula ilusi yang merugikan diri sendiri, kononnya ekonomi sedang bergerak ke hala tuju yang betul. Dan, kononnya negara ini akan menjadi negara berpendapatan tinggi dalam masa empat tahun lagi.

Prof Jomo menambah bahawa Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani melaksanakan langkah-langkah yang dapat membawa ekonomi negara ke tahap pertumbuhan yang seterusnya.

Sebagai felo kanan pelawat (visiting senior fellow) di Institut Kajian Khazanah (KRI) dan felo pelawat di Inisiatif Dialog Dasar, Universiti Columbia, Prof Jomo memegang Kursi Tun Hussein Onn dalam Pengajian Antarabangsa di Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa (ISIS), Malaysia.

Prof Jomo kini menetap di Malaysia sekembalinya ke tanah air kira-kira setahun yang lalu. Sebelum ini, Prof Jomo tinggal di luar negara selama lebih kurang dua belas tahun.

Mantan Penolong Setiausaha Agung bagi pembangunan ekonomi di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu akan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Malaysia-Perancis dengan tajuk “Kapitalisme Malaysia Dalam Sudut Pandang Perbandingan” yang dianjurkan bersama-sama oleh KRI, Kedutaan Perancis di Malaysia, dan Pusat Universiti Malaysia-Perancis.

Menurut Prof Jomo, banyak orang di negara ini tahu apa yang merunsingkan ekonomi Malaysia. Pun, hal itu tidak akan ke mana, melainkan kita menerima hakikat tentang di mana kita berada, di mana potensi kita berada, dan bagaimana dari sini kita bergerak ke hadapan.

Prof Jomo telah berkongsi pandangan tentang ekonomi Malaysia kepada StarBizWeek dalam sebuah temu bual eksklusif. Berikut adalah petikan temu bual tersebut:

Sejauh mana kita berada semenjak krisis kewangan global 2008/2009?

Orang mungkin menyangka bahawa kita belajar sesuatu daripada krisis-krisis yang lepas, tetapi malangnya, kita tidak mengambil banyak pelajaran pun daripada krisis-krisis itu.

Kita telah menyaksikan beberapa pasukan yang mendesak ke arah liberalisasi kewangan dan globalisasi, malah terus melakukan perkara yang sama sekali lagi pada tahun-tahun kebelakangan ini melalui perjanjian perdagangan bebas, perjanjian pelaburan, dan sebagainya.

Pasukan-pasukan ini (yang menyebabkan gelembung ekonomi) sedang bekerja; manakala kita seolah-olah tidak belajar banyak perkara daripada situasi yang demikian. Kita terus membenarkan proses-proses itu berlaku.

Namun, tentulah susah hendak menduga sepenuhnya apa yang akan terjadi. Saya fikir tidak ada orang boleh mendakwa kononnya sudah tahu di mana kelemahan seterusnya akan berlaku.

Adakah Malaysia bersedia menghadapi lagi kemungkinan kegawatan ekonomi?

Penggubalan dasar ekonomi sudah lumpuh.

Bagi saya, itulah masalah terbesar di negara ini.

Kita sedang mengalami krisis politik yang sangat mendalam. Krisis itu telah mengatasi segala-galanya. Kita perlukan suatu bentuk kepimpinan yang berani bagi menyelesaikan isu ini.

Kerajaan telah menjadi begitu lemah disebabkan oleh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di samping pertimbangan survival politik bahawa kerajaan tidak mahu melaksanakan inisiatif berani yang diperlukan sekarang.

Kita sedang berhadapan dengan suatu keadaan yang amat menyedihkan. Sepatutnya ada resolusi bagi meleraikan dilema ini.

Saya bimbang ada ramai orang berkepentingan yang berkuasa, yang akan berjuang bagi memelihara dan melindungi kepentingan mereka, dan mereka akan ambil segala jalan keluar – kebanyakannya tidak adil – bagi melindungi kepentingan mereka, dan masa hadapan negara berada dalam bahaya.

Apa pendapat tuan tentang Belanjawan 2017?

Terus terang saya katakan, isu ini tidak penting lagi. Belanjawan itu lebih kurang sama sahaja dengan yang lepas-lepas dengan sedikit ubah suai di sana-sini.

Belanjawan sudah tidak penting lagi sekarang, memandangkan negara sedang menghadapi kelesuan yang lebih dahsyat.

Dan, saya fikir penting untuk kita akui bahawa sekarang kita ada banyak belanjawan tambahan. Kita boleh rasa yakin bahawa akan ada belanjawan tambahan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Tentang mencapai belanjawan hampir seimbang menjelang tahun 2020:

Banyak orang beritahu saya, konon semuanya akan hancur kerana Malaysia tidak cukup duit bagi menanggung hutang. Kebanyakan dakwaan ini terbit daripada sikap keterlaluan ataupun kurang faham tentang kewangan awam.

Jikalau mengambil kira kepentingan belanjawan seimbang, sekiranya anda tidak tahu keadaan pada tahun 2020, mengapa anda berjanji akan menyeimbangkan belanjawan pada tahun 2020?

Daripada menabur janji yang mungkin boleh ataupun tidak ditunaikan, saya fikir kita perlu faham bahawa kerajaan secara umumnya harus mempunyai dasar melawan kitaran (countercyclical policy).

Belanjawan itu dapat menjadi suatu alat yang berguna dalam cubaan melicinkan kitaran perniagaan.

Apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, anda boleh merangka belanjawan yang seimbang dan menyelesaikan sebanyak mungkin hutang yang terkumpul.

Sebaliknya, apabila ekonomi tidak berada dalam keadaan baik, anda boleh merangsang ekonomi dengan perbelanjaan kerajaan, terutamanya yang dilakukan dengan berhemat; tidak hanya memberikan pekerjaan kepada orang muda, kerana usaha itu tidak banyak membantu dalam merangsang ekonomi.

Jadi, adakah kita tidak perlu bimbang bahawa Malaysia telah mengalami defisit fiskal semenjak tahun 1999 dan kadar hutang kerajaan semakin meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini?

Itu membimbangkan kerana kita tidak mengambil langkah yang lebih berani bagi memulihkan ekonomi.

Kita telah mengalami defisit belanjawan yang menjemukan selama dua dekad ini, dan tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh bagi meletakkan ekonomi negara pada landasan pertumbuhan yang mampan.

Oleh itu, masalahnya bukanlah pada defisit belanjawan sangat, tetapi kita tidak berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dan yang akan memastikan taraf hidup meningkat.

Adakah kita sudah melakukan banyak kemajuan dalam mengguna pakai model ekonomi baru?

Ada beberapa perkara yang baik di dalam model itu (model ekonomi baru yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun 2010) tetapi semua itu hanya di atas kertas sahaja.

Selain langkah-langkah bagi memberikan lebih banyak kepada golongan berpendapatan rendah – misalnya dasar gaji minimum dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah dilaksanakan dengan kesan yang baik – saya tidaklah teruja sangat dengan model itu secara keseluruhan.

Model itu banyak menekankan perkhidmatan moden, membayangkan perkhidmatan kewangan lebih daripada segala yang lain, mungkin beberapa perkhidmatan IT. Namun, kita tidak mempunyai langkah-langkah sokongan.

Selama ini kita bergantung terlalu banyak pada pelaburan langsung asing (foreign direct investments) berbanding berusaha memupuk industri dan usahawan Malaysia supaya mereka boleh memiliki daya saing di peringkat antarabangsa.

Jikalau kita lihat Jepun, Korea Selatan, dan baru-baru ini China, dasar pemupukan seperti itulah yang membolehkan negara-negara itu berkembang, melaksanakan pengindustrian, dan mengubah diri mereka dengan cepat sekali.

Sebab itulah saya fikir yang kita banyak berilusi jikalau kita fikir boleh melompat peringkat perindustrian dan terus ke peringkat perkhidmatan.

Kita tidak boleh membandingkan diri kita dengan Hong Kong ataupun Singapura kerana jenis ekonomi kita berbeza dan kita tidak harus mengabaikan hakikat itu.

Sebagai contoh, apabila kita melihat sektor pertanian, yang banyak diabaikan di Malaysia, kita perlu berfikir dari segi pertanian moden. Tetapi, kita tidak memiliki langkah-langkah sokongan bagi mendapatkan banyak manfaat daripada sektor ini.

Kita mesti memikirkan hal ini semula daripada asasnya, dan berhenti mengikut trend antarabangsa yang disokong oleh institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia, dan sungguh-sungguh mulai memahami ekonomi Malaysia dengan lebih baik – kekuatannya, potensinya, dan kemudian membina ekonomi di atas kekuatan dan potensi itu.

Akui sahaja, banyak unsur yang dipanggil sebagai perangkap pendapatan sederhana (middle income trap) ini adalah sebenarnya daripada kita sendiri.

Tentang bilangan pekerja asing yang besar di Malaysia, kita perlukan strategi pembangunan jangka sederhana yang membolehkan kita kurang bergantung pada pekerja asing yang dibayar murah.

Saya tidak pula cadangkan supaya kita tidak ambil seorang pun pekerja asing, kerana kita mungkin mahu pekerja asing menambah sumber tenaga mahir yang kita perlukan, tetapi kita harus beralih daripada model ekonomi bergaji rendah. Sayangnya, sangat sedikit komitmen yang dicurahkan dalam perkara ini.

Adakah tuan fikir Malaysia masih terkurung di dalam perangkap pendapatan sederhana?

Saya tidak setuju dengan idea perangkap pendapatan sederhana. Itu adalah slogan yang kosong dan masalah sebenar Malaysia telah disifatkan dengan sangat salah.

Masalahnya ialah, sementara rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai pendapatan yang lebih tinggi sekarang, mereka tidak secara langsung berdasarkan ekonomi. Dalam ekonomi kita, taraf hidup dan gaji adalah sangat rendah dalam sektor pertanian, dan kita sebagai sebuah negara mengambil manfaat daripada pertanian yang berdaya saing (dari segi kos) yang kita miliki.

Kita juga telah meninggalkan penekanan dasar yang lalu terhadap pengindustrian; kita tidak berkembang secukupnya ke arah pengindustrian yang lebih tinggi dan lebih laju.

Bolehkah Malaysia mencapai status pendapatan tinggi pada tahun 2020?

Kita berilusi kononnya sedang menjadi negara maju.

Pada tahun 2020, saya tidak terkejut bahawa kita akan capai status ekonomi berpendapatan tinggi (seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia sebagai sebuah negara yang berpendapatan kasar sebanyak US$12,475 pada tahun 2015).

Kita boleh melakukan hal itu dengan mudah secara statistik. Sebagai contoh, sekiranya anda terus menafikan bilangan pekerja asing di negara ini, maka penyebut (denominator) anda bagi menghitung pendapatan perkapita turun dengan banyaknya. Jadi, anda boleh capai status negara berpendapatan tinggi yang sepatutnya.

Terdapat lebih kurang enam ke tujuh juta orang pekerja asing di Malaysia, dan jumlah itu membentuk kira-kira tiga puluh peratus ke empat puluh peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini. Dan, ramai antara mereka yang bekerja dan hidup dalam keadaan yang jauh lebih buruk daripada pekerja yang termiskin di Malaysia.

Kita mempunyai golongan kelas bawahan yang besar, iaitu pekerja asing, yang hampir kita nafikan.

Angka-angka ini adalah penting (significant) dan kita sedang bergurau dengan diri sendiri.

Adakah Malaysia kehilangan daya saing kepada rakan-rakan serantau?

Daya saing sesebuah negara tidak ditakrifkan dari segi daya saing serantau, tetapi malah secara global.

Jadi, apa yang kita lakukan supaya dapat bersaing di peringkat global?

Kita patut rasa gembira kerana negara-negara lain di rantau ini seperti Indonesia sedang berkemajuan, tetapi itu sepatutnya merangsang kita supaya terus cemerlang.

Pun, anda tidak boleh fikir hendak jadi jaguh kampung sahaja. Anda harus fikir tentang menjadi cemerlang kerana globalisasi adalah fenomena yang nyata.

Artikel asal dalam bahasa Inggeris disiarkan di portal The Star.